21 Feb 2011

~hargai isteri anda...



Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa lumpuh untuk
menanggung beban yang teramat berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku, apatah

lagi di usia yang telah agak banyak ini. Kalaulah aku tahu beginilah

hatinya, sumpah aku tidak lakukan semua ini. Dia tetap berwajah
tenang. Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak mata, di pipinya
malah bibirnya. Segalanya masih sama seperti dulu. Aku leka. Leka dengan
setiap kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak pernah dipersoalkan.

Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan keizinan, aku lihat ada
titisan air mata gugur di pipinya. Itulah kali terakhir aku lihat dia
menangis. Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk dirinya selain dari
mengingati aku tentang nafkah anak-anak kami yang seramai lima orang. Dia
meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah sedikit sesi kaunseling
selesai. Aku mempelawa untuk menghantar pulang. Dalam senyum an yang kukira
dibuat-buat, dia menolak dengan alasan, mulai dari hari ini dia akan
belajar untuk mengurus hidupnya sendiri.

Aku tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku meneruskan niatku
mengahwini Normi. Dia tidak sedikit pun membentak bila aku
memintanya menggosok sepasang baju Melayu, pakaian pengantinku. Cuma di kala
itu aku kehilangan senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah tenang dan

syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia masih seperti selalunya,
bersalaman dan mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-baik. Aku
mengahwini Normi setelah setahun menjalin persahabatan. Aku sendiri
kurang pasti mengapa aku tertarik dengan Normi. Cuma yang aku sedar, aku
kasihankan anaknya yang sedari awal memanggil aku ayah. Mungkin juga kerana
Normi cantik. Perwatakannya yang manja membuatkan ramai lelaki tergoda.
Dan akulah yang paling kalah dengan kemanjaannya.

Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi memang ditakdirkan ada
jodoh, kerana itu kami berkahwin. Walau ibu dan ayahku malah saudara
mara menentang hebat kemahuanku. Apa kurangnya Nurjannah, soal mereka.
Memang aku akui, tiada cacat celanya Nurjannah. Dia memiliki semuanya,
cantik dan seorang perempuan yang lengkap memenuhi ciri-ciri seorang
isteri, ibu dan pengasuh anak-anak yang baik. Dia juga pernah menjadi
rebutan pemuda sekampung. Di antara mereka, aku orang yang paling bertuah
menjadi pilihan Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan penuh rasa kesyukuran.

Dia melahirkan zuriatku seramai lima orang. Dia tidak pernah
mengeluh keletihan melayan kerenah anak-anak walau aku kurang membantu.
Keperluanku juga dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini
terhadapnya. Segalanya cukup sempurna.

Pendidikan agama untuk anak-anakku juga diberikan oleh
Nurjannah.Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia sepuluh tahun. Semua itu
Nurjannah yang ajarkan. Anak-anakku tahu akan tanggungjawab mengerjakan
sembahyang seawal usia enam tahun. Itu juga Nurjannah, isteriku juga
yang ajarkan.

Bukan sekadar anak-anak malah aku sendiri pun diuruskan oleh
Nurjannah. Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku dari baju hinggalah ke
stokin Nurjannah sudah aturkan. Aku cuma capai sahaja. Ketika aku berwuduk,

Nurjannah telah siap membentang sejadah sembahyang. Setiap kali aku
pulang kerja, sekurang-kurangnya, segelas minuman telah tersedia di
ruang rehat. Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku walau menghantarnya ke
pasar. Katanya, dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup
bersamanya, Nurjannah faham benar seleraku. Selama sebelas tahun itu
juga seingatku tidak pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku.

Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan sepejabatku
mengeluh kerana isteri di rumah minta menukar langsir baru, Nurjannah
isteriku di rumah terbongkok-bongkok mencuci langsir lama. Bila kami diberi
bonus tahu nan oleh majikan, rakan-rakanku resah kerana isteri
masing-masing turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua barang kemas. Tetapi isteriku Nurjannah tidak pernah meminta semua itu. Nurjannah
menasihati aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan masa depan katanya.
Akhirnya aku menggunakan wang simpanan tersebut untuk perkahwinanku
dengan Normi, madu Nurjannah.

Setelah berkahwin dengan Normi, barulah aku merasai segala masalah
seperti yang dihadapi teman-teman sepejabatku. Apa nak buat,
terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan sepahit mana sekalipun,
terpaksalah ditelan jua. Apatah lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang
cahaya mata. Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku memang jarang-jarang
sekali pulang ke rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali,
kadang-kadang sebulan sekali. Itupun untuk memberi wang perbelanjaan
anak-anak. Nurjannah tetap dengan sifat sabarnya. Walau aku memperlakukannya
sedemikian, di a tidak pernah marah-marah apalagi mengamuk.

Setiap kali kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak kemarahan.
Bersalam dan mencium tanganku. Dia tetap menyediakan makanan
kegemaranku. Cuma yang amat aku terasa, aku ke! hilangan senyuman mesranya. Dia
pernah meminta izinku membantu abangnya yang berniaga di kedai
runcit berhampiran dengan rumah kami. Aku sedar, mungkin perbelanjaan
harian dariku tidak mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu. Lagipun Nurjannah
tidak pernah menyebutnya. Aku lihat tubuhnya kurus sedikit. Aku
bertanya padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa masalah. Namun dia hanya
menggeleng kepala.

Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku setelah aku berkahwin
lain. Kelima-lima anakku dengan Nurjannah tidak pernah menunjukkan
tanda-tanda membantah atau marah. Cuma antara kami kurang mesra,
mungkin kerana sudah jarang berjumpa. Alhamdulillah aku punyai anak-anak sebaik
Nurjannah.

Kelima-lima anakku sudah berjaya. Semuanya sudah menjejaki menara
gading. Terasa begitu cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah
menjangkau dewasa. Fahmi anakku yang sulung menjawat jawatan doktor, Fariza
menjadi pensyarah, Fakhrul pula pegawai di jabatan kerajaan, Farihin seorang
guru dan Farina telah tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan dua
hari lagi. Aku pulang hari ini, di atas permintaan Farina agar aku dan
ibunya hadir di majlis bersejarah baginya. Seingat aku telah dua
bulan aku tidak menjengah Nurjannah. Namun kepulanganku tetap disambut baik
oleh Nurjannah. Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-dulu. Dia
tidak pernah menunjukkan riak kurang senang padaku. Walhal sudah banyak
perkara yang telah aku lukai hatinya, namun sukar untuknya menunjukkan rasa
memberontak. Kesabarannya banyak mengajarku apa erti kesetiaan
seorang suami. Aku akui aku bukan seorang suami yang adil. Adil dalam
mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga pengaruh isteri mudaku, namun aku tidak
menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini memberi satu perbandingan
yang nyata antara keduanya.

Namun kesalahan masih berpihak padaku seolah-olah tidak mampu untuk
berlaku adil! Hari ini Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang
masak lemak cili padi. Selera sungguh aku makan. Suasana di meja makan
sunyi sepi. Fariza yang juga makan bersama kami, aku lihat asyik menyuap
nasi ke mulut. Nurjannah membisu seribu bahasa dan aku sendiri bagai
kehilangan cerita. Sebenarnya jauh di sudut hati, aku terlalu lama rindukan
gelak tawa Nurjannah. Entah kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari
kemesraannya. Sesudah makan malam aku duduk-duduk di ruang tamu di
samping Fariza. Nurjannah menghampiriku sambil menghulur satu sampul surat
berwarna jingga.

Aku masih ingat, itulah sampul surat kad undangan perkahwinanku
dengan Normi. Aku bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai. Telah
lengkap diisi hampir terlepas dari tanganku Aku terpempan. Terkedu. Hilang
sudah segala kekuatan yang ada. Aku cuba menolak rasa sangsi. Adakah
aku berdepan dengan realiti atau sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah,

tenang dan bersahaja. Ada sesuatu yang ingin diutarakannya. Aku
menunggu dengan sabar, mahu penjelasan yang wajar darinya. "Bang, lapan belas

tahun yang lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani borang
permohonan poligami, Jannah harap abang juga boleh melakukannya sekarang,"
pintanya dengan suara yang aku rasakan bagai belati menghiris hati. Rasanya
ingin gugur air mata lelakiku.

Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk pengorbanan yang telah kau
lakukan. Kukira langkah mu tidak akan terlanjur sejauh itu.
Nurjannah, barang kali beginilah deritanya hatimu dulu, ketika mahu melepas
pergi orang yang dikasihi.. 'Jannah tak mahu abang terus dihumban dosa
kerana sememangnya abang tidak pernah berlaku adil. Selama ini pun Jannah
hanya tak mahu kehidupan anak-ana k kita terganggu lantaran sikap kita.
Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah sampai ke penghujungnya. Lagi pun
kesabaran Jannah sudah tinggal sia-sia. Jannah tidak mahu jadi
isteri derhaka apabila kesabaran sudah tiada lagi. Anak-anak kita pun sudah dewasa,

mereka sudah boleh hidup sendiri," Nurjannah bersuara lagi tanpa
sebarang riak api kebencian kepadaku.

"Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk hantar ibu tunaikan
fardhu haji tahun ini," sambung Fariza. Aku merenung mata Fariza
dalam-dalam. Lama. Sehinggalah Fariza bersuara. "Kami bukan tak mahu
hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti, siapa nak jaga makcik Normi,
kan ayah tak pernah tinggal makcik Normi sorang-sorang." "Jannah, abang
tak mahu kehilangan Jannah, biar abang tinggalkan Normi," pintasku cuba
melerai kekusutan yang membelit diri. "Sejauh mana sekali pun abang
tinggalkan Normi, hati Jannah tetap terluka. Tanda tangan borang tu
bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh.

Aku rasakan itulah dentuman petir yang paling kuat pernah memanahi
pendengaranku dan beban yang teramat sarat yang menghempap bahuku.
Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering dihampar oleh
Nurjannah isteriku. Dengan langkah yang longlai aku mengambil wuduk, Nurjannah
hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik sembahyang aku mencari-cari
sejadah yang terbentang. Tiada. Aku jatuh terduduk.

Sesal dulu pendapatan.......sesal kemudian......



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...